Pekerja kedai buku lesap RM50,400 ditipu ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 22: Seorang pekerja kedai buku terpaksa berputih mata selepas kerugian RM50,400 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’.

Kejadian menimpa lelaki berusia 34 tahun itu berlaku antara 7 hingga 17 Dis lalu, namun laporan polis berhubung kes berkenaan hanya dibuat semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Cindy Wong dari Jabatan Kastam Pulau Pinang.

Jelasnya, wanita berkenaan kemudian mengatakan kedai mangsa ada berhutang GST sebanyak RM51,076, tetapi mangsa menafikannya.

“Kemudian talian telefon disambungkan kepada IPK Pulau Pinang dan mangsa telah bercakap dengan seorang lelaki kononnya Sarjan Liew.

“Mangsa kemudian mengatakan syarikat tersebut bukan miliknya, tetapi Sarjan Liew memberitahu mangsa terlibat dengan kes dadah dan rakan kongsi bersama dengan Ong Kai Fei yang telah ditangkap,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa kemudian didakwa mengeluarkan wang sebanyak RM500,000 untuk menselesaikan kes Ong Kai Fei.

Katanya, mangsa seterusnya diarahkan untuk mencari wang bagi menyelesaikan kes ini dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan Sarjan Liew.

“Mangsa kemudian memasukkan wang berjumlah RM50,400 melalui empat transaksi ke tiga akaun bank yang berbeza mulai 7 hingga 17 Dis lepas.

“Setelah wang dimasukkan, mangsa kemudian diminta merahsiakan perkara itu dan tidak boleh memberitahu kepada sesiapa.

“Mangsa kemudian menyedari ditipu apabila bertanya kepada majikannya berhubung nombor telefon 04-2221522 yang telah menghubunginya sebelum ini dan mangsa diberitahu bahawa nombor telefon itu adalah adalah ‘scammer’.

Tambah Mustafa, menurut majikan mangsa semakan melalui ‘Google’ ke atas nombor telefon itu didapati tersenarai di dalam nombor ‘scammer’.

“Buat masa ini, kes ini masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily