Dua beradik maut, seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas kereta dinaiki rempuh pokok

Pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 23: Dua beradik maut, manakala seorang kanak-kanak lelaki selamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebatang pokok di Jalan Tanjung Kidurong di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu mengakibatkan dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.21 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun selamat dan berjaya keluar dari kereta itu.

“Manakala, dua lagi mangsa masih tersepit dalam kereta jenis Proton Persona dan sudah tidak bernyawa lagi,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, kanak-kanak yang cedera itu kemudian dibawa ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 11.34 pagi,” jelasnya lagi. — DayakDaily