Peguam Negara: TPR sentiasa terima garis panduan dalam penguatkuasaan PKP

A statue of Lady Justice. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, April 27: Jabatan Peguam Negara menyangkal dakwaan gagal mengemukakan sebarang garis panduan kepada Timbalan Pendawa Raya (TPR) bagi memastikan keseragaman dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Peguam Negara Tan Sri Idris Harun berkata, garis panduan dan arahan sentiasa dikemukakan dari semasa ke semasa kepada TPR.

Katanya, ia untuk memastikan pentadbiran undang-undang dilaksanakan dengan teratur sepanjang tempoh PKP.

Advertisement

“Penyeliaan kes berkaitan pelanggaran PKP dilakukan setiap hari oleh Ketua Bahagian Pendakwaan dan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan.

“TPR diminta menghantar laporan berkenaan kes itu setiap hari kepada Peguam Negara,’katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebagai contoh ujar Idris, TPR juga diingatkan supaya lebih peka terhadap kes yang membabitkan pelaku juvana bagi memastikan mereka tidak direman kecuali dalam kes yang tidak dapat dielakkan dan mereka diberikan hak dalam Akta Kanak-Kanak.

Bagaimanapun tambah Idris, sesetengah perkara seperti reman dan hukuman bukan dalam bidang kuasa Peguam Negara.

Pada 9 April lalu, Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) Malaysia menyiarkan sebuah rencana yang bertajuk ‘The Attorney General must rein in prosecutors’ di laman webnya.

EDICT pada rencana tersebut mendakwa Pejabat Peguam Negara gagal mengemukakan sebarang garis panduan kepada TPR sepanjang tempoh PKP.

Justeru Idris berkata, EDICT dilihat telah membuat satu tanggapan yang salah di mana hanya kerana ia tidak melihat sebarang arahan atau garis panduan yang dikeluarkan oleh Pejabat Peguam Negara, maka arahan atau garis panduan itu tidak wujud.

Menurut beliau, para TPR, polis dan mahkamah sentiasa bekerja keras dalam keadaan yang baharu ini, di samping mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan.

“Pejabat Peguam Negara sebagai institusi awam, mengalu-alukan kritikan terhadap tindakannya. Namun ia tertakluk kepada kritikan membina dan berdasarkan fakta kukuh dan bukan bersandarkan kepada andaian dan celaan yang tidak disokong oleh fakta,” ujar Idris.— DayakDaily

Advertisement