PBDSB menentang kenyataan Pejabat Daerah Bintulu sebagai ‘mengelirukan rakyat’


KUCHING, Dis 20: Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) membidas sebuah kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Bintulu yang mengatakan Ketua Masyarakat tiada kuasa mengesahkan Status Tanah (Hak Adat Bumiputera) untuk individu-individu tertentu bagi tujuan permohonan dan pembangunan tanah yang tidak dikeluarkan dokumen hak milik tanah atau geran tanah.

PBDSB melalui Ketua Pemuda nya, Rapelson Richard Hamit mengeluarkan kenyataan media semalam bagi membantah kenyataan tersebut susulan pekara berkenaan menjadi tular di media sosial.

“Dua perkara yang menimbulkan keraguan kita terhadap kenyataan yang ditandangani oleh Pegawai Daerah Bintulu Encik Mataip Sayu. Pertama, beliau memberitahu bahawa ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum tidak mempunyai kuasa ke atas tanah,” katanya.


“Kedua adalah kenyataan beliau yang bercanggah dengan Kod Tanah Sarawak apabila beliau menyatakan bahawa pengesahan status Hak Tanah Adat Bumiputera adalah dibawah bidang kuasa Jabatan Tanah dan Ukur negeri Sarawak,” kata Rapelson.

Menurutnya, perkara pertama jelas diperuntukan dalam Adat Iban Tusun Tunggu 1993 yang mana Seksyen 14 dan Seksyen 15 memperuntukkan kuasa ke atas tanah mereka.

Selain itu, ujar Rapelson, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga telah mengiktiraf bidang kuasa Tuai Rumah dan ini telah memberikan kemenangan kepada kes Tuai Nyutan, Tuai Rumah Massa dan Tuai Rumah Sandah.

Rapelson juga meminta Mataip untuk merujuk dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sarawak untuk mendapatkan kepastian sekiranya masih samar dalam perkara ini. Beliau memberitahu bahawa Jabatan Tanah dan Ukur hanya berkuasa ke atas pentadbiran tanah yang mempunyai geran atau tanah yang telah didaftar sebagai tanah negeri (registered stateland) sahaja dan tidak mempunyai bidang kuasa ke atas tanah yang belum didaftarkan (unregistered stateland).

“Apa yang lebih merisaukan adalah kenyataan ini akan meninggalkan implikasi ke atas bidang kuasa ketua kaum di daerah lain dan melemahkan insititusi ketua kaum Dayak,” katanya.

“Perkara ini juga akan menyebabkan kesukaran kepada pekebun kecil penanaman sawit kelak. Maka, ini jelas sekali adalah “the hidden agenda” (agenda tersembunyi) Barisan Nasional untuk melumpuhkan kuasa pemilikan Hak Tanah Adat bansa asal di Sarawak.

“Oleh itu, Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat harus bangun menentang penindasan kuasa yang berlaku ini,” tegas Rapelson. — DayakDaily