Buaya mati ditembak ketika sedang baham ayam ternakan

Buaya yang mati ditembak ketika sedang membaham ayam ternakan.

LAWAS, Dis 20: Seekor buaya yang sedang membaham beberapa ekor ayam ternakan di bawah sebuah rumah di Kampung Dato, Kuala Lawas di sini berjaya ditembak mati, malam semalam.

Reptilia sepanjang kira-kira tiga meter dan seberat kira-kira 100 kilogram itu ditembak mati oleh seorang penduduk kampung tersebut pada pukul 11.30 malam.

Seorang lelaki mendekati bangkai buaya yang mati ditembak ketika sedang membaham ayam ternakan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, seorang lelaki yang dikenali sebagai Julai Japar, 50-an, telah dikejutkan oleh bunyi bising datang dari arah reban ayam miliknya.


Katanya, curiga dengan bunyi bising itu, dia kemudian memberanikan dirinya untuk melihat keadaan di situ sebelum dia dikejutkan dengan kehadiran seekor buaya yang sedang membaham ayam ternakannya.

“Terkejut melihat buaya itu sedang membaham ayam ternakannya, dia kemudian berlari masuk ke rumahnya untuk mengambil selaras senapang patah bagi menembak sang bedal tersebut.

“Selepas beberapa minit kemudian, lelaki berkenaan kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah badan reptilia itu,” katanya hari ini.

Menceritakan lanjut, sumber memberitahu, akibat tembakan itu telah mengakibatkan sang bedal tersebut mati.

Katanya, sang bedal yang mati itu hanya ditarik keluar dari bawah rumah tersebut kira-kira pukul 8 pagi hari ini.

“Bangkai buaya itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. — DayakDaily