Patuhi SOP semasa PKPB dan perayaan Gawai, Ketua Polis Daerah Tatau

Jame melakukan pematuhan SOP PKPB di Rumah Mat Sampei, Separai, Tatau

KUCHING, 22 Mei: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Tatau menasihati penduduk di rumah panjang mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Gawai nanti.

Memetik laporan UKAS, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis berkata, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak yang akan membuat pemantauan dari satu rumah panjang ke satu rumah panjang untuk memastikan SOP dipatuhi khususnya pada waktu perayaan Gawai nanti.

“Untuk makluman, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas seperti mengenakan kompaun sekiranya ada yang tidak mematuhi SOP-SOP yang ditetapkan.

“Saya berharap agar semua mematuhi SOP khususnya pada waktu Hari Gawai.

“Tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang gagal mematuhi SOP ini,” katanya.

Jame berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPB di Rumah Mat Sampei, Separai, Tatau pada Jumaat.

Ujar Jame lagi, Rumah Mat ini adalah contoh bagi rumah panjang lain yang mempunyai inisiatif membuat halangan antara satu ruai ke ruai yang lain.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong ketika ditemui meminta masyarakat Iban yang menyambut perayaan Gawai menyambut mengikut norma baharu dan mematuhi SOP yang dibenarkan.

“Tidak lama lagi kita akan menyambut perayaan Gawai.

“Jadi, saya minta masyarakat tukar cara menyambut Gawai mengikut norma baharu di mana sambutan hanya melibatkan di kalangan ahli keluarga terdekat sahaja.

“Berkumpul, upacara ngabang dari satu bilik atau ke rumah panjang yang lain juga tidak dibenarkan,” ujarnya.

Tambah Calvin lagi, orang dari luar juga tidak digalakkan balik ke rumah panjang semasa Gawai dan majlis perkahwinan, upacara meri anak mit mandi dan sabung ayam tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, semua Tuai Rumah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di peringkat kampung dan rumah panjang dinasihatkan untuk mengaktifkan Kepolisan Komuniti dengan memantau SOP di kampung dan rumah panjang masing-masing.

Langkah ini akan membantu agensi kerajaan seperti PDRM dan Pejabat Daerah Tatau dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha untuk mengekang penularan penyakit Covid-19. — DayakDaily