Passport Vaksin Covid-19 setelah capai imunisasi kelompok, persetujuan antara negara

Abdul Karim (dua dari kanan) mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 5 Julai: Penggunaan Passport Vaksin Covid-19 kepada pengembara domestik dan luar negara termasuk pengatur acara memerlukan persetujuan negara terlibat.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ia juga mengambil kira tahap vaksinasi di setiap negeri.


“Pada masa ini, saya belum melihat pelaksanaan Passport Vaksin Covid-19 untuk pengembara termasuk pengatur acara.

“Saya percaya satu hari nanti ia akan dilaksanakan dan penggunaan passport ini memerlukan kerjasama di antara negara yang terlibat.

“Sehingga kita mencapai tahap vaksinasi yang tinggi, barulah kita menggunakan kaedah ini untuk perjalanan antara negara,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui pada Program Kongsi Rezeki-Pantri Komuniti di sini hari ini.

Tambah beliau yang juga Menteri Belia Dan Sukan, pelaksanaan passport tersebut adalah di bawah kuasa Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Imigresen.

Sarawak tambah beliau memang berhasrat untuk membuka pintu masuk secepat mungkin untuk perkembangan industri pelancongan.

Namun jelas Abdul Karim, penggunaan passport Vaksin Covid-19 mesti melihat kepada keseluruhan perspektif, termasuk tahap vaksinasi di seluruh negeri.

“Kalau di Sarawak memang tahap vaksinasi kita sudah agak tinggi, manakala di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia ada yang masih di peringkat rendah.

“Kerana untuk passport seperti ini atau pintu masuk dibuka, kita tidak dapat melihat dari perspektif Sarawak sahaja, kita terpaksa melihat keseluruhan Malaysia.

“Kalau di Semenanjung Malaysia tahap vaksinasi masih rendah, saya rasa pintu masuk belum boleh dibuka,” ujar beliau.

Pada program yang diadakan di The Summer Mall hari ini, Karim telah mengagihkan bantuan bekalan makanan kepada komuniti B40 setempat.

Ia bertujuan meringankan beban mereka di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memastikan tiada yang terputus bekalan makanan. — DayakDaily