Pasar malam pertama MPKS bakal beroperasi Januari depan

Datuk Peter Minos (duduk tengah) mengadakan sidang media bersama kakitangan MPKS.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Dis 20: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) akan mewujudkan satu kawasan pasar malam terletak di Uni-Central, di sini, yang akan mempunyai sehingga 60 gerai dan beroperasi setiap hari, yang dijangkakan bermula Januari tahun hadapan.

Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos berkata demikian dengan kerajaan telah menyumbangkan sebanyak RM500,000 bagi pihaknya mewujudkan Pasar Malam MPKS terbabit dan akan menjadi pasar malam pertama beroperasi setiap hari di Kota Samarahan.

“Ketika ini pihak pengurusan MPKS sedang memperincikan perancangan mewujudkan kawasan pasar malam itu dari segi susunan khemah dan sebagainya. Ini kerana pelancong asing gemar melawat pasar malam yang ada menjual pelbagai produk dengan harga murah disamping memberikan peluang kepada peniaga kecilan menambah pendapatan mereka,” katanya pada sidang media MPKS, di Perpustakaan MPKS, di sini, semalam.

Advertisement

Pasar malam terbabit akan beroperasi setiap hari dari jam 5 petang sehingga 12 tengah malam dengan ketika ini sebanyak 43 permohonan telah diterima dan satu sesi temuduga telah diadakan untuk pemohon terbabit.

Ketika ini masih ada 17 kekosongan bagi mengisi tapak pasar malam itu dengan borang permohonan masih boleh didapati di kaunter MPKS dengan tapak pasar malam terbabit akan ada empat kategori iaitu makanan (17 tapak), minuman (19), panggang (empat tapak) dan lain-lain (13 tapak) dengan kadar bayaran tapak ialah sebanyak RM100 sebulan.

Peter berkata dengan mewujudkan pasar malam terbabit, pihaknya berharap dapat mengelakkan peniaga kecilan di kawasan itu dari membuka gerai perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan terutamanya di perhentian bas sehingga menganggu oarng ramai yang mahu mengunakan penagangkutan awam.

“Kami sudah tidak lagi membenarkan aktiviti perniagaan di perhentian bas di Kota Samarahan dan sudah mula mengambil tindakan terhadap peniaga terbabit. Ini kerana kami menerima banyak aduan orang ramai mengenai perhentian bas dijadikan tempat berniaga,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak malahan mendedahkan aktiviti itu juga perlu dihentikan kerana tahun hadapan Kota Samarahan akan mempunyai perkhidmatan bas dan juga laluan bas baru.

Katanya perkhidmatan bas dan laluan bas baru terbabit penting bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam kerana ketika ini populasi Kota Samarahan sudah mencecah sekitar 200,000 orang berikutan pembangunan pesat dan pembukaan banyak taman perumahan, pusat komersil serta pejabat kerajaan baru. ā€” DayakDaily

Advertisement