Sarawak catat korban pertama banjir, guru wanita ditemui lemas

Anggota bomba mengusung mayat mangsa.

LIMBANG, Dis 20: Sarawak mencatatkan korban pertama banjir apabila seorang guru wanita ditemui lemas hari ini selepas kereta yang dinaiki bersama suaminya dihanyutkan oleh arus deras, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi itu, mangsa, Norsiah Yusok, 52, dilaporkan lemas, manakala suaminya, Duroh Sinjan, 54, selamat.

Jurucakap bomba dan penyelamat Limbang berkata, mangsa ditemui oleh orang awam di tebing Sungai Bakol dekat sini pada pukul 8.27 pagi.

Katanya, sebelum kejadian, pihak bomba menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan terdapat sebuah kereta telah dihanyutkan arus deras semasa meredah jalan raya yang dinaiki banjir.

“Dalam kejadian itu, seorang mangsa lelaki berjaya keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri, namun isterinya dilaporkan gagal berbuat demikian.

“Sejurus menerima laporan berhubung insiden itu, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menjalankan operasi mencari dan menyelamat melibatkan kira-kira 3 kilometer dari kawasan kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah jurucakap sama, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Limbang untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya sebaik mayat mangsa dibawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, hujan lebat berterusan serta fenomena air pasang sejak malam tadi telah mengakibatkan beberapa kawasan di Bintulu, Miri dan Limbang dilanda banjir.

Di Bintulu, jelasnya, seramai 22 mangsa dari lima keluarga di Kampung Sebuan Besar, Jepak telah dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan di Dewan Serbaguna BDA setelah kediaman mereka dinaiki air.

“Manakala di Kampung Batu 1, Kuala Baram, Miri, nelayan di situ terpaksa memindahkan bot ke tepi jalan bagi mengelak dihanyut ombak,

“Malah, buat masa ini, penduduk di Limbang paling ramai yang terjejas akibat banjir dengan tujuh kawasan iaitu Kampung Tegarai, Kampung Tabahan, Kampunh Pundut, Kampung Berawan, Kampung Sungai Poyan, SK Ulu Lubai dan Kampung Sembiling,” ujarnya. — DayakDaily