Divisyen Pertama Infantri Malaysia sedia hadapi banjir

Keadaan banjir di sebuah rumah panjang di Limbang.

KUCHING, Dis 20: Divisyen Pertama Infantri Malaysia telah bersiap sedia untuk membantu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam menghadapi sebarang bencana banjir di negeri itu.

Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, anggota tentera di Sarawak sentiasa bersedia untuk membantu dan berkerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain dan JPBNS dalam tugas menyelamat semasa banjir.

Menurutnya, anggota dan aset ketenteraan telah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas oleh banjir.

“Dalam menghadapi situasi seperti ini, pihak tentera juga telah membuat persediaan dan latihan simulasi banjir bersama agensi penyelamat yang dikordinasikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“Pada masa ini kumpulan tinjau atau ‘Recce Party’ tentera telah digerakkan bagi membantu dalam memantau kawasan-kawasan yang berisiko dilanda banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, situasi banjir di Sarawak pada masa ini masih terkawal, namun orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga. — DayakDaily