Pasangan kekasih ditahan kerana melakukan ugutan jenayah

Pasangan terbabit (berdiri barisan hadapan, tiga dan empat dari kiri) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Nov: Sepasang kekasih ditahan polis pada Rabu selepas disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap beberapa pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja meroboh di bekas tapak lama market ikan di Jalan Bendahara.

Kedua-dua suspek berusia 41 dan 46 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 3 petang semalam susulan laporan mangsa.


Dalam kejadian pada Selasa itu, sekitar jam 11 pagi, seramai enam pekerja yang sedang sibuk melakukan kerja-kerja meroboh di dalam bangunan lama pasar ikan telah didatangi pasangan kekasih tersebut.

Mereka dipercayai mengugut pekerja terbabit menggunakan kayu dan melarang mangsa meneruskan kerja-kerja meroboh.

Difahamkan, kedua-dua suspek telah menjadikan bekas tapak market ikan tersebut sebagai tempat kediaman.

Pasangan terbabit telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri (CPS) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily