Pasangan kekasih dicekup edar dadah

Gambar komposit menunjukkan kereta, dadah dan wang tunai yang dirampas daripada suspek.

MIRI, Julai 20: Sepasang kekasih yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dicekup dalam satu operasi khas yang dilakukan di sebuah rumah di Jalan Dato Permaisuri, Permyjaya di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Sahar Abd Latif berkata, kedua-dua suspek berusia 36 dan 27 tahun itu diberkas pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat dan risikan, satu operasi khas telah dilaksanakan oleh pasukan operasi JSJN Sarawak.


“Hasil pemeriksaan badan kedua-dua suspek dan rumah tersebut tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

“Namun, berpandukan dengan satu ‘remote’ kunci kereta yang dirampas di bilik berkenaan, polis telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Volkswagen Polo GTi yang diparkir di garaj rumah tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada dalam bonet belakang kereta itu telah menjumpai satu peti besi warna merah bertulis Astar di dalamnya mengandungi dua peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sahar menambah, dadah jenis syabu yang dirampas ada seberat 97.60 gram dengan nilai sebanyak RM10,000.

Tambahnya, dalam serbuan sama, polis turut merampas empat bentuk cincin emas dengan anggaran nilai RM2,620.

“Antara lain, polis juga merampas seutas rantai emas berserta loket emas dengan anggaran nilai RM3,440.

“Selain itu, dua utas rantai tangan dengan anggaran nilai RM860 dan wang tunai sebanyak RM5,629 juga dirampas daripada kedua-dua suspek,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Sahar memberitahu, siastan awal mendapati pasangan kekasih terbabit telah terlibat dalam aktiviti pengedaran bermula pada akhir tahun 2017.

Katanya, kedua-dua suspek telah menjalani ujian saringan awal air kencing dan suspek lelaki didapati positif dadah jenis Meth.

“Manakala, wanita itu pula positif dadah jenis Meth/Amp/Opiate.

“Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Julai 26 depan untuk siasatan lanjut,” katanya, sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily