‘Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63’

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, Sept 18: Mengembalikan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu merupakan amanah yang dibawa bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan kini diteruskan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, MA63 adalah suatu perjanjian antarabangsa yang berdaftar di dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sept 21, 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.

Atas sebab itu kata Dr Hazland, Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63 disebabkan ia merupakan satu perjanjian antarabangsa, sebaliknya, Parlimen Malaysia hanya boleh meluluskan undang-undang baru sahaja.


“Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 (PRU14) telah berjanji dalam salah satu manifesto 100 hari pemerintahannya jika dapat mengambilalih Putrajaya ialah menubuhkan pasukan bertindak untuk mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam MA63.

“Justeru, dalam perkara ini, Sarawak dan Sabah perlu diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam menerima pembangunan yang sama sebagai sebuah rantau dan bukan negara,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dr Hazland yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan, dalam memastikan janji ini dapat ditunaikan, kerajaan PH memerlukan semangat juang politik yang kuat dengan memerlukan sokongan daripada kerajaan negeri Sarawak dan Sabah yang selama ini telah berjuang untuk ke arah mendapatkan hak negeri masing-masing mengikut MA63.

“Jesteru, kerajaan PH perlu mendengar dan membawa bersama kedua-dua kerajaan negeri di Kepulauan Borneo itu untuk duduk berbincang mengenai kandungan MA63,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya sempena Hari Malaysia yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah, Ahad lepas, Dr Hazland memberitahu, adalah tidak perlu mengambil ketetapan mengenai keperluan majoriti 2/3 di Parlimen untuk melaksanakan MA63.

Sebaliknya kata beliau, pendekatan meja bulat boleh diambil dengan penyertaan ketiga-tiga pihak iaitu Sarawak, Sabah dan kerajaan persekutuan bagi merungkai permasalahan sekali gus mengembalikan hak Sarawak dan Sabah seperti yang terkandung dalam MA63.

“Berhubung dengan royalti minyak, permintaan Sarawak dan Sabah yang mahukan royalti itu dinaikkan kepada 20 peratus adalah bertujuan untuk perkongsian pendapatan dalam usaha mempercepatkan perkembangan kedua-dua negeri sejajar dengan kemajuan yang dicapai Malaysia ketika ini.

“Ini kerana sudah lebih 55 tahun Sarawak dan Sabah telah dinafikan hak mereka untuk menerima royalti atau peruntukan daripada hasil minyak untuk pembangunan kedua-dua negeri tersebut,” ujarnya.

Sekiranya dapat dilaksanakan, tambah Dr Hazland, ia adalah peluang terbaik bagi kerajaan PH menamatkan ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan yang dihadapi Sarawak dan Sabah.

Jelasnya, kedua-dua negeri itu sangat memerlukan peruntukan yang besar bagi membolehkan kemajuan dapat dibawa ke kawasan luar bandar dan pedalaman yang selama ini dahagakan pembangunan.

“Dalam pada itu, mengembalikan hak pentadbiran adalah jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan semua permasalahan dasar pembangunan yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Menerusinya, pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan tidak akan berlaku pertindihan kuasa sehingga boleh mengakibatkan kecelaruan pentadbiran,” katanya lagi. — DayakDaily