Empat lelaki diberkas dalam pondok selepas disyaki miliki dadah

Kelihatan dadah yang dirampas polis daripada suspek.

PADAWAN, Sept 18: Polis Padawan berjaya menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Lorong 7 Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, SUPT Aidil Bolhassan berkata, empat lelaki yang ditangkap pada pukul 1.30 petang itu berusia antara 40 hingga 58 tahun.

Menurutnya, serbuan dan tangkapan terbabit telah dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.


“Hasil pemeriksaan polis telah menemui 1 paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu (methamphetamine) dengan berat kasar 0.52 gram.

“Polis juga menjumpai satu bekas logam kecil warna ungu jenama ‘Eclipse mints’ mengandungi 1 keratan tiub ‘straw’, 1 paket plastik lutsinar berselotep hitam, 2 paket plastik lutsinar berselotep merah, 4 paket plastik lutsinar berselotep kuning masing-masing mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.75 gram,” katanya di sini hari ini.

Aidil menambah, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Pejabat BSJND Padawan untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 58 tahun mengaku dadah tersebut miliknya dibeli secara ‘bank-in’.

“Kesemua suspek juga mempunyai kes lampau berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas keempat-empat lelaki terbabit mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya.

Sambil menambah, Aidil memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily