Dr Hazland: Rakyat Sarawak wajar ingati tarikh Sept 16 sebagai tarikh keramat pembentukan Malaysia

Dr Hazland (berdiri tengah guna topi keledar) bergambar bersama para peserta Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0.

KUCHING, Sept 18: Tarikh Sept 16 akan sentiasa diingati sebagai tarikh bersejarah buat Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah yang telah membentuk sebuah negara yang diberi nama Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, tarikh Sept 16 wajar diingati khususnya bagi generasi muda pada hari ini dalam mengingati kembali semangat perjuangan dan cinta tanah air.

Katanya, rakyat Sarawak perlu mengingati tarikh Sept 16 sebagai tarikh keramat bagi negeri Sarawak yang sama-sama membentuk Malaysia.


“Pada tarikh tersebut, Sarawak bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah telah membentuk Malaysia.

“Jika sebelum ini kita jarang mendengar atau mengingati tarikh Sept 16 berbanding Ogos 31 yang meraikan Hari Kebangsaan, kini sudah tiba masanya rakyat Sarawak khususnya dan Malaysia amnya mengingati tarikh itu sebagai hari bersejarah bagi negara kita Malaysia,” katanya ketika ditemui sebelum pelepasan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 yag diadakan buat kali keempat berturut-turut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Turut sama menyertai Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Dalam konvoi itu, sebanyak 120 buah motosikal dari kawasan DUN Demak Laut telah turut serta dalam menjayakan aktiviti itu yang bermula di Terminal Bako dan berakhir di Kampung Tabuan Lot.

Dr Hazland menambah, konvoi tersebut telah disertai pemuda-pemuda di setiap ranting di DUN Demak Laut, Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut dan AJK Seberkas.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut bagi kali keempat berturut selepas kali pertama diadakan pada 2014.

“Aktiviti ini diadakan bukan sahaja bertujuan mengingati tarikh Sept 16, tetapi juga mengeratkan hubungan di kalangan belia antara kampung. Ini kerana, penyertaan ini melibatkan sebanyak 28 buah kampung dalam DUN Demak Laut,” katanya lagi.

Di sepanjang konvoi itu, peserta telah melalui beberapa buah kampung di kawasan DUN Demak Laut seperti Kampung Selabat, Kampung Muara Tebas, Kampung Gobielt, Kampung Senari, Terminal Kampung Semilang/Beradek, Kampung Sejingkat, Taman Sepakat Jaya, Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kampung Tabuan Melayu dan berakhir di Kampung Tabuan Lot. — DayakDaily