Padah pukul pembantu am, dua lelaki ditahan reman

Anggota polis mengiringi kedua-dua suspek yang direman selama tiga hari.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Okt 14: Tindakan ganas dua pekerja syarikat pemberi pinjaman wang memukul seorang lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan pada Khamis lalu akhirnya membawa padah apabila mereka ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Mahkamah Majistret Bintulu telah meluluskan permohonan reman ke atas kedua-dua lelaki yang masing-masing berusia 24 dan 25 tahun itu bermula hari ini.


Permohonan reman itu telah dibacakan oleh pegawai penyiasat kes, Sarjan Ahmad Zharif Nelson di hadapan Penolong Majistret Bintulu, Salina Sahrom.

Manakala kedua-dua suspek diwakili Vivien Anne Luang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Ketua Jabatan Siastan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, dua suspek terbabit telah ditahan oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu pada pukul 3.50 petang, semalam

Jelas beliau, tangkapan itu dijalankan ekoran laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada Oktober 12 lepas.

“Dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah ditumbuk oleh kedua-dua suspek sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala, bengkak dahi kanan, bawah mata kanan, bahagian mulut dan bahagian muka.

“Mangsa dicederakan oleh kedua-dua suspek dipercayai akibat salah faham berhubung tuntutan hutang mangsa daripada syarikat pemberi pinjaman wang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa menambah, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang pembantu am di Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu.

Katanya, jumlah pinjaman yang dibuat oleh mangsa adalah sebanyak RM3,800.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 29B Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 iaitu kesalahan gangguan atau ugutan dan lain-lain kepada peminjam yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya. — DayakDaily