Pelancong Kanada cemas, kereta dipandu terbabas

Anggota bomba memberi rawatan kepada pelancong warga Kanada.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 14: Seorang pelancong warga Kanada berdepan dengan detik mencemaskan apabila kereta yang dipandunya terbabas di Jalan Damai Beach Resort di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu, lelaki yang berusia 55 tahun tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Nooruddin Ismail Talab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung itu pada pukul 10.46 pagi.

Jelasnya, sejurus itu sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba, anggota bomba mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang terbabas di bahu jalan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum memberikan rawatan awal kepada lelaki berkenaan,” katanya di sini hari.

Nooruddin menambah, rawatan awal kepada mangsa itu telah dibantu oleh pasukan bomba dari Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS).

“Operasi tamat sepenuhnya selepas mangsa menerima rawatan,” katanya. — DayakDaily