Padah bayar guna not RM100 palsu, seorang lelaki dicekup polis

Wang palsu not RM100 yang dirampas polis.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, April 30: Padah membayar dengan menggunakan wang palsu not RM100 di sebuah ‘fun fair’ di Siburan, seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan, malam semalam.

Suspek berusia 35 tahun diberkas sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Padawan kira-kira pukul 10.40 malam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa berkata, sebelum itu pihaknya telah menerima aduan daripada seorang peniaga wanita yang mendakwa suspek telah membayar untuk barangan dengan menggunakan wang palsu not RM100.

Jelasnya, apabila mendapati wang itu disyaki palsu telah berlaku pertengkaran antara peniaga dan suspek sebelum wanita itu mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Siburan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis telah pergi ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan ke atas wang not RM100 tersebut adalah disyaki not itu palsu.

“Seterusnya tangkapan telah dibuat di Megabite Café, Batu 18, Siburan. Barang kes not RM100 turut dirampas untuk dijadikan bahan kes,” katanya di sini hari ini.

Merbin menambah, suspek ditahan reman selama lima hari mulai hari ini sehingga Mei 4 depan.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek tiada mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan jika dituduh dan didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya. — DayakDaily