Polis buru tiga lelaki larikan tabung surau

Kelihatan kelibat suspek mengangkat tabung surau.

Oleh Dean Adam

LIMBANG, April 30: Tiga lelaki sedang diburu polis selepas disyaki melarikan sebuah tabung di Surau Baitul Rahmah, Batu Biah di sini baru-baru ini.

Menurut sumber, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga suspek dipercayai memasuki surau tersebut pada pukul 2.32 pagi.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek dikatakan mengangkat dan melarikan tabung tersebut selepas gagal membukanya.

“Kelibat ketiga-tiga suspek berkenaan yang dirakam menerusi CCTV kini tular dalam aplikasi WhatsApp,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima kes berkenaan.

Katanya, polis sedang menjejaki ketiga-tiga suspek tersebut.

“Buat masa ini belum ada tangkapan dan kita masih memburu suspek terbabit,” katanya. — DayakDaily