OSEIC beroperasi mulai September ini, kata Fatimah

Fatimah(tiga dari kiri) berbincang sesuatu berhubung pelan bangunan OSEIC dengan Pengerusi PIBAKAT Zaidi Ahmad(kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 29 JULAI: Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) pertama di Sarawak dijangka beroperasi pada bulan September tahun ini dengan pengambilan pertama seramai 70 orang kanak-kanak berkeperluan khas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerja-kerja pengubahsuaian bangunan pusat tersebut yang terletak di Metro City Jalan Matang akan siap pada Ogos ini setelah tergendala selama 3 bulan akibat penularan wabak Covid-19.


“Pusat ini akan memberikan perkhidmatan diagnosis, intervensi dan sokongan di bawah satu bumbung, untuk kanak-kanak istimewa berumur 7 tahun ke bawah.

“Sebagai permulaan, OSEIC akan memberi tumpuan kepada tiga jenis kecacatan iaitu autisme, sindrom down dan masalah pembelajaran,”katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Terdahulu Fatimah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat OSEIC di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini.

Menurut beliau, OSEIC berperanan dalam membuat pengesanan awal, melaksanakan langkah intervensi kepada kanak-kanak serta memberi sokongan kepada ibubapa atau penjaga.

Katanya, kanak-kanak yang kurang bermasalah seterusnya boleh ditempatkan bagi mengikuti pendidikan sekolah rendah dalam aliran perdana, integrasi atau pendidikan khas.

“Manakala yang masih memerlukan bantuan, intervensi dan sokongan boleh terus mendapatkan perkhidmatan yang disediakan di OSEIC,”ujar Fatimah.

Pusat tersebut dibina melalui peruntukan Petronas menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan dilengkapi dengan kemudahan pejabat pengurusan, ruang pembelajaran, ruang pemulihan, bilik intervensi, klinik dan gimnasium.

Dalam pada itu, Fatimah berkata OSEIC akan dikendalikan oleh Persatuan Ibubapa Kanak-Kanak Berkeperluan Khas(PIBAKAT) berdasarkan kedudukan kewangan, kepakaran dan pengalaman dalam menangani anak-anak istimewa.

“Dengan perkhidmatan tersebut yang ada di Sarawak, maka ibu bapa tidak perlu pergi ke Kuala Lumpur atau tempat-tempat lain di luar Sarawak bagi mendapatkan perkhidmatan intervensi dan sokongan kepada anak-anak ini.

“Kita berharap supaya lebih ramai ibubapa yang akan tampil untuk mendapatkan konsultasi, diagnosis, intervensi dan sokongan bagi anak-anak mereka yang berkeperluan khas,” katanya.—DayakDaily