Najib dikenakan penjara 72 tahun, denda RM210 juta

Datuk Seri Najib Tun Razak

KUCHING, 29 Julai: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam telah menjatuhkan hukuman penjara selama 72 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun setelah Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan hukuman penjara itu dilaksanakan serentak.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga pertuduhan kes CBT dan setiap kes pengubahan wang haram manakala 12 tahun penjara serta denda RM210 juta, atau penjara lima tahun dalam kes menyalah guna kedudukan.


Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman pada 6.30 petang, setelah mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan pihak pembelaan, permohonan pendakwaan untuk hukuman berat dan kenyataan ringkas tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.

“Saya turut mengambil kira sumbangan tertuduh kepada negara,” kata Mohd Nazlan yang dipetik Bernama semalam.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan selesai, namun menaikkan jumlah jaminan sebanyak RM1 juta lagi dan mengarahkan ia dikemukakan hari ini. Sebelum ini, Najib diikat jamin RM1 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Najib untuk melapor diri ke balai polis dua kali sebulan.

Najib meninggalkan mahkamah pada 7.34 malam tadi, bersama peguamnya.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, Najib akan kekal sebagai Ahli Parliemen Pekan sementara beliau merayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.—DayakDaily