Warga asing ceroboh kawasan larangan lapangan terbang Miri ditangkap

PDRM logo.

MIRI, 29 Julai: Tindakan seorang lelaki wargenegara Indonesia menceroboh masuk bangunan Pos kawalan 1 Lapangan Terbang Miri pagi selasa (28 Julai) membawa padah apabila dia ditangkap anggota keselamatan lapangan terbang berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan anggota keselamatan di kawasan ‘Ekaran Gate’ pada jam 10.30 pagi selepas melihat suspek di kawasan berdekatan bangunan Pos Kawalan 1.

Difahamkan ketika kejadian, suspek dilihat mencurigakan dan berada di kawasan Pos Kawalan 1 Lapangan Terbang Miri sebelum melarikan diri ke ‘Ekaran Gate’ ke arah sebuah pesawat di kawasan tersebut.


Suspek kemudian diserahkan ke Balai Polis Lapangan Terbang Miri untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai pencuci kereta tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Lim menambah, suspek direman selama 14 hari dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta 298 Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 / 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.—DayakDaily