Orang ramai digesa berwaspada dengan penipuan individu yang mendakwa sebagai kakitangan Sesco


KUCHING, Mei 17: Orang ramai di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang sedang dilakukan oleh individu yang mendakwa sebagai kakitangan Sesco Berhad ketika ini, yang meminta pembayaran bil elektrik melalui akaun bank yang diberikannya.

Sarawak Energy melalui kenyataan media mendedahkan, pihaknya telah menerima laporan berhubung kegiatan tersebut yang menggunakan nama anak syarikatnya itu untuk mengugut pelanggan membuat pembayaran bil tertunggak.

“Sesco tidak pernah memberikan sebarang nombor akaun bank kepada pelanggan untuk tujuan pembayaran bil elektrik,” katanya.


Sarawak Energy baru-baru ini telah menerima beberapa laporan daripada pelanggannya kerana dihubungi oleh individu yang mendakwa diri sebagai kakitangan Sesco dan mengugut akan memotong bekalan elektrik mereka sekiranya tidak membayar bil yang tertunggak.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengabaikan panggilan sedemikian dan membuat bayaran bil elektrik di kaunter perkhidmatan pelanggan Sesco sahaja.

Pembayaran bil elektrik juga boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih SEB Cares yang boleh dimuat turun di App Store Apple atau Google Playstore untuk Android.

Orang ramai yang menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan juga dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Penjagaan Pelanggan di 1300 88 3111 atau emel customercare@sarawakenergy.com.my. — DayakDaily