Ops Benteng Covid-19: Cubaan tiga lelaki seludup sembilan warga asing di Lundu dipatahkan

Gambar komposite menunjukkan tekong darat dan pendatang tanpa izin yang ditangkap.

LUNDU, 30 Jun: Cubaan tiga lelaki warga tempatan menyeludup masuk sembilan warga asing berjaya dipatahkan dalam dua operasi berasingan semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata kejayaan tersebut adalah hasil operasi Ops Benteng Covid-19 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11.

Katanya tangkapan pertama melibatkan dua tekong darat berusia 18 dan 28 tahun yang membawa lima lelaki warganegara Indonesia berusia 16 hingga 20 tahun di Kampung Jampari di Jalan Sematan-Lundu kira-kira jam 5.30 pagi.

Jelasnya, mereka membawa kesemua warga asing terbabit menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Aruz.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memasuki Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Mereka memberi alasan memasuki negara ini untuk mencari pekerjaan di sebuah ladang di Kampung Serayan Lundu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pemeriksaan lanjut ke dalam kereta juga menemui dadah jenis syabu bersama alat penimbang yang kemudian telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lundu untuk siastan lanjut.

Manakala, tangkapan seterusnya dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang membawa empat lelaki warganegara Indonesia berusia 23 hingga 45 tahun di simpang Kampung Perian kira-kira jam 5.45 pagi, menggunakan sebuah Proton Saga.

Kata Damataries, kesemua warga Indonesia itu juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Kesemua suspek tekong darat bersama sembilan warga asing tersebut kemudian dibawa ke Hospital Lundu untuk ujian swab Covid-19 dan telah disahkan negatif.

Seterusnya mereka dibawa ke IPD Lundu untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily