Op Tapis Khas: 391 ditangkap kerana dadah sejak 21 Jun

Dari kiri, Mustafa, Mohd Azman dan Mancha semasa sidang media tersebut.

KUCHING, 24 Jun: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak melalui ‘Op Tapis Khas’ telah berjaya menahan 391 individu disyaki terlibat jenayah dadah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi yang bermula dari 21 Jun itu diadakan serentak di seluruh negeri.

Katanya, mereka yang ditahan merupakan warga tempatan berusia lingkungan 16 hingga 64 tahun.


“Pihak polis telah membuka sebanyak 325 kertas siasatan dan 116 telah dituduh di mahkamah, termasuk beberala orang daripadanya disyaki tokan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung kejayaan operasi tersebut hari ini.

“Dalam operasi tersebut juga telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai sekitar RM122,310 yang dipercayai boleh dibekalkan kepada 2,674 orang penagih.

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu, ganja, ketamin, methamphetamine dan ekstasi, pil ekstasi serta pil erimin 5 dengan rampasan tertinggi adalah di Sibu iaitu bernilai RM91,048, Kuching sebanyak RM8,490 dan Kapit sebanyak RM5,955,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 30 lokasi dipercayai sarang dadah digempur sepanjang operasi tersebut diadakan.

“Selain itu, beberapa lokasi seperti kawasan program perumahan rakyat (PPR), ladang-ladang dan pelbagai lagi tempat turut diserbu,” katanya.

Beliau selain itu turut memberitahu sejak 1 Januari hingga 23 Jun, JSJN Sarawak telah menahan 4,410 individu dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM8 juta.

“Operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah akan terus diperhebatkan.

“Kita akan melumpuhkan sumber bekalan, kewangan dan aset sindikeg bagi memastikan kegiatan jenayah dadah ini dibanteras habis-habisan,” katanya

Sidang media tersebut turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata dan Ketua JSJN Sarawak ACP Mustafa Kamal Gani. — DayakDaily