Usaha mencari lelaki warga emas yang hilang pada Isnin lalu giat dilakukan

PDRM logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Jun: Usaha mengesan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun yang dilaporkan hilang pada Selasa lalu (21 Jun) sedang giat dilakukan.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri bersama anggota dari Balai Polis Pusat Miri telah bersama-sama mengesan dan mencari lelaki warga emas terbabit di sekitar kawasan Hospital Umum Miri, Kampung Katong, Jalan Miri By Pass dan tapak pembinaan bangunan yang berhampiran Hospital Umum Miri.


“Kita turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, semasa lelaki tersebut dilaporkan hilang, beliau memakai baju bewarna biru dan berseluar jeans gelap.

“Usaha mengesannya masih diteruskan sehingga ke hari ini namun tiada sebarang petunjuk diperolehi,” kata Alexson.

Hebahan mengenai kehilangan lelaki warga emas itu turut dimuatnaik ke dalam surat khabar, Facebook dan laporan khas telah dihantar ke semua IPD seluruh Sarawak bagi mengesannya di daerah lain.

Masyarakat Miri dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kehilangan lelaki tersebut yang boleh mengganggu siasatan.

Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat, silalah berhubung dengan Penolong Pegawai Penyiasat iaitu Sjn Saharuddin Bin Sulaiman di talian 019-3091726 / 085- 427093.

Difahamkan, lelaki warga emas tersebut dilaporkan telah hilang di kawasan Hospital Miri.

Susulan kehilangan beliau, keluarganya telah tampil membuat satu laporan polis sekitar jam 1.36 petang Isnin. — DayakDaily