Bilik guru SJKC Chung Hua Debak terbakar

Keadaan di dalam bilik guru tersebut yang terbakar.

BETONG, 16 Ogos: Bilik guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Debak dilaporkan musnah dalam kebakaran lewat petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima panggilan berlakunya kebakaran tersebut pada jam 6.15 petang.

Katanya, anggota dari BBP Betong kemudian terus ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan ruangan blok pentadbiran yang telah terbakar 20 peratus keseluruhannya.

“Setibanya di lokasi didapati kebakaran telah dipadam sepenuhnya oleh pekerja sekolah dengan menggunakan lapan unit alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, anggota Bomba melakukan pengudaraan bagi mengeluarkan asap di ruangan yang terbakar serta memadam bara-bara api yang tinggal.

“Setelah mendapati keadaan selamat serta terkawal, anggota Bomba seterusnya berangkat balik ke balai,” katanya.

Tiada mangsa cedera dilaporkan di lokasi kejadian.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.15 malam.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily