Warga asing disyaki pengedar dadah ditangkap di Bintulu

Dadah yang dirampas daripada suspek.

BINTULU, 16 Ogos: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Bintulu semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu Supt Batholomew Umpit berkata suspek berusia 19 tahun ditangkap di sebuah bangunan di pasar lama Bintulu sekitar jam 8.22 malam.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan ke atas suspek telah berjaya menemui dadah jenis syabu dianggarkan seberat 60 gram.


“Suspek dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di mana pasukan operasi telah menemui 12 tiub penyedut yang mana setiap tiub berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Turut dijumpai ialah empat paket plastik lutsinar di mana setiap paket juga berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali jika disabitkan kesalahan.

Jelasnya juga, dipercayai dadah-dadah tersebut adalah untuk diedarkan ke kawasan ladang.

“Tangkapan ini merupakan satu usaha PDRM dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, disamping mencegah aktiviti jenayah di Bintulu,” katanya.

Justeru beliau memohon kerjasama orang ramai agar menyalurkan terus kepada polis maklumat berkenaan sebarang aktiviti jenayah dadah.

“Jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini bolehlah memaklumkan kepada IPD Bintulu di talian 086-318304,” katanya. — DayakDaily