Op Mabuk: 124 individu diperiksa, 4 disahkan memandu dibawah pengaruh alkohol di Kuching

Gambat komposit menunjukkan keadaan sekitar operasi tersebut.
Advertisement

KUCHING, 24 April: Seramai 124 orang dan 111 buah kenderaan diperiksa sepanjang Op Mabuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dari lewat malam tadi.

Menurut laporan dalam laman Facebook IPD Kuching, operasi dijalankan di Jalan Tabuan dari jam 11 malam hingga 4.30 pagi dengan diketuai Inspektor Ngang Kalimpot.

Difahamkan seramai lima orang ditahan untuk pemeriksaan lanjut selepas disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol.

Advertisement

“Kelima-lima yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 32 tahun, mereka telah dibawah ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Hasil ujian menggunakan alat ‘Evidential Breath Analyser’, didapati empat suspek positif alkohol iaitu melebihi had (alkohol) yang telah ditetapkan,” menurut laporan itu.

Empat suspek yang positif ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Selain itu, sebanyak 49 saman dikeluarkan sepanjang operasi tersebut atas pelbagai kesalahan lalulintas. — DayakDaily

Advertisement