NSJA menyediakan pelitup muka, pembersih tangan untuk pengamal media di Miri

Presiden NSJA Andy Jong (kiri) dan setiausaha persatuan Michelle Choo Lee Nyuk bergambar bersama sumbangan sebelum mengedarkan kepada para pengamal media di sini.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Mei: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) telah membeli sebanyak 176 kotak pelitup muka, 88 botol (100ml) pembersih tangan dan mask keeper untuk setiap ahli dan pengamal media di Miri.

Menurut Presiden NSJS Andy Jong, setiap pengamal media akan menerima dua kotak (100 keping) pelitup muka, sebotol 100ml pembersih tangan dan dua keping penyimpan pelitup muka.


Jong berkata, memandangkan kes jangkitan Covid 19 semakin meningkat, pengagihan kepada 88 anggota ahli NSJA adalah sebahagian daripada usaha persatuan untuk memastikan bahawa setiap ahli serta wartawan yang juga sebagai barisan hadapan mendapat perlindungan yang sewajarnya ketika mereka menjalankan tugas sepanjang situasi Covid-19.

“Selain daripada itu, ini juga merupakan salah satu manfaat yang diberikan kepada ahli oleh Persatuan Wartawan Utara Sarawak sempena Hari Wartawan Nasional Malaysia (HAWANA) pada 29 Mei yang akan datang,”jelasnya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil Dayak Daily.

29 Mei diisytihar sebagai Hari Wartawan National Malaysia (HAWANA).

Tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei, 1939.

Hari Wartawan National Malaysia sebagai mengiktiraf peranan wartawan dalam mencorak dan membentuk minda masyarakat serta akan disambut setiap tahun.

Para media juga adalah petugas barisan hadapan kerana perlu mendapat maklumat untuk menulis laporan yang sahih dan tepat berkaitan perkembangan terkini situasi Covid-19 dalam negara,katanya.

Media memainkan peranan penting dalam menyalurkan laporan mengenai Covid-19 agar tidak berlaku suasana panik akibat penyebaran berita yang palsu di laman sosial.

Rakan media juga berhadapan dengan risiko jangkitan ketika mereka menjalankan tugas di lapangan untuk mendapat berita yang sahih sebelum disebar kepada pembaca.

Beliau menegaskan bahawa ketika media menjalankan tugas harian, mereka disarankan untuk mengambil tindakan pencegahan serta menjaga diri sendiri dari ancaman wabak krisis Covid-19 pandemik.

Pada masa sama, beliau juga mengajak golongan masyarakat untuk bersama-sama membudayakan norma baharu dan setiasa mematuhi SOP yang ditetapkan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Saya berharap agar semua media mengambil langkah berjaga-jaga tambahan dalam menjalankan tugas mereka,” jelasnya.

Andy juga menyatakan setelah pengamal media turut disenaraikan sebagai penerima vaksinasi dalam fasa kedua program imunisasi Covid-19 kebangsaan,pengamal media di Miri akan dijadualkan menerima vaksinasi secara berkumpulan mulai Mei atau June.

Dia berharap agar semua pengamal media menerima notis janji temu untuk vaksinasi dengan secepat mungkin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengumumkan seramai 5,867 petugas media daripada agensi media berdaftar, bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam masa terdekat dan janji temu akan diberikan secepat mungkin selepas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) menerima butiran petugas media. — DayakDaily