NGO Dayak tolak saranan pelajar tak ikut PdPR digantung sekolah

Dari kiri atas, ikut pusingan jam: Elias, Edward, Paul, John, Wilfred, Rafael dan Samuel.

KUCHING, 28 Jun: Saranan bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid agar menggantung persekolahan murid yang tidak mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ditolak enam persatuan bukan kerajaan (NGO) negeri ini.

Menerusi satu kenyataan bersama hari ini, pemimpin-pemimpin NGO tersebut yang mewakili masyarakat Dayak mendapati cadangan itu agak aneh dan kurang bijak.

“Perlu diakui, ramai anak-anak tidak dapat mengikuti PdPR ini dengan lancar kerana bukan saja tidak ada capaian Internet, malah ramai ibu bapa tidak ada kemampuan untuk membeli peranti untuk mengikuti PdPR.


“Isu ini timbul disebabkan masalah domestik di Sarawak dengan akses Internet yang lemah dan tidak dapat dicapai sepenuhnya serta kekurangan peranti teknologi untuk pelajar dan guru sehingga membebankan ibu bapa.

“Ini memberi masalah kepada kaedah PdPR dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wabak pandemik Covid-19,” kata mereka.

Enam NGO tersebut ialah Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) yang diwakili presiden Elias Lipi Mat dan timbalannya Edward Awan, Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) diwakili Paul Raja sebagai presiden, dan Samuel Suring sebagai presiden Persatuan Iban Sarawak (PAIS).

Tiga yang lain ialah Setiausaha Persatuan SADIA (Miri) Rafael Dru, Presiden Persatuan Terabai Menua Sarawak Wilfred Nissem dan Setiausaha Agung Persatuan Balang Balai Nyabung (BBN) Dr John Brian.

Menerusi kenyataan itu, semua pemimpin NGO ini berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepatutnya telah bersedia lebih awal dalam mengendalikan krisis komunikasi pendidikan bagi pandemik Covid-19 di negara ini.

Katanya, agak sukar untuk menggambarkan cabaran dan kepayahan yang terpaksa ditempuhi saban hari.

Sebaliknya, warga pendidik yang bertugas di sekolah pedalaman kekal optimis dan komited merealisasikan misi mendidik anak-anak.

“Oleh itu, kita berpendapat cadangan menggantung sekolah bagi pelajar yang tidak hadir tiga hari sesi PdPR berturut-turut disifatkan sebagai tidak sensitif.

“Ia tidak sensitif kepada keadaan semasa pelajar yang sedang menghadapi kesukaran menerusi kaedah tersebut dalam tempoh PKP,” kata pemimpin NGO tersebut sambil berkata hukuman menggantung persekolahan murid agak konservatif.

Pemimpin NGO ini juga berkata bahawa usaha melipatgandakan penggunaan teknologi dan merapatkan jurang digital antara segenap lapisan masyarakat perlu dilakukan dengan segera.

Sekiranya tidak, kesan jangka panjang akan meluaskan jurang ketidaksamaan dan menyebabkan lebih ramai anak tercicir.

“Kita ingin memberikan pendidikan terbaik kepada yang kaya mahupun yang miskin, tanpa mengira di daerah dan kota mana sekalipun.

“Inilah strategi kita dalam menterjemahkan pembangunan inklusif,” kata mereka. — DayakDaily