Nelayan asing ditangkap, kerana disyaki menangkap ikan di perairan negara secara haram

Nelayan asing yang ditahan dalam operasi tersebut.

Oleh Juetila Ozzy

MIRI, 22 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah bot nelayan asing di perairan Miri pada jarak lebih kurang 21 batu nautika dari barat laut Kuala Sibuti semalam.

Penahanan adalah kerana disyaki bot tersebut menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.


Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi berkata menyedari kehadiran pihak Maritim, bot nelayan asing itu melepaskan peralatan menangkap ikan ke laut sebagai cubaan melupuskan bahan bukti selain untuk meloloskan diri semasa hendak diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan asing tersebut dikendalikan oleh tujuh orang kru termasuk tekong yang kesemuanya lelaki warga Vietnam berumur dalam lingkungan 27 hingga 43 tahun.

“Empat daripadanya mempunyai passport pengenalan diri manakala tiga yang lainnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua kru dan bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kg Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.

Maritim Malaysia menyeru kepada komuniti maritim untuk terus bekerjasama memberikan informasi dan juga maklumat berkenaan salah laku jenayah di laut.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082- 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. ā€” DayakDaily