Tiga tekong ditangkap, cuba seludup PATI di Lubok Antu

Tekong dan PATI yang ditangkap.

LUBOK ANTU, 15 Feb: Tiga tekong warga tempatan ditangkap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika cuba menyeludup mausk empat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Warga Indonesia di kawasan Sanitary Landfill Site, sektor Pos Gabma, di sini hari ini.

Jurucakap Divisyen Pertama Infrantri Malaysia berkata anggota mereka yang bertugas dalam ‘Ops Benteng’ telah mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 4.17 pagi.

Katanya, kenderaan tersebut dilihat sedang memasuki laluan utama lokasi tersebut iaitu 3.8 kilometer dari sempadan Malaysia-Indonesia.


“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga warga tempatan yang disyaki sebagai tekong bersama empat lagi individu warga negara Indonesia termasuk dua kanak-kanak dipercayai PATI,” katanya.

Manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 98,350 melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda RM 95,800.00) bersama lima buah telefon bimbit.

“Kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak PDRM dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu,” katanya. — DayakDaily