Nanta: Proses bawa pembangunan perlukan kerjasama semua pihak

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KAPIT, 21 Dis: Pembangunan di sebuah kawasan tidak boleh dilakukan atau dibawa oleh seorang individu yang menjadi wakil rakyat terbabit sebalik ia harus dilakukan oleh semua pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata proses dalam membawa sesebuah pembangunan itu memerlukan kerjasama semua pihak agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Untuk membangunkan sesebuah kawasan sebagai contoh Kapit ini, ia tidak dapat dilakukan oleh seorang individu, dua, tiga atau empat individu sahaja.

Advertisement

“Ianya harus dilakukan oleh semua orang, bukannya katakan saya seorang yang bawa pembangunan dan hanya individu itu seorang sahaja yang kononnya berjasa,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Nanta berkata kerjasama yang erat antara pemimpin khususnya di kawasan Kapit membolehkan pembangunan di bahagian tersebut dilakukan dengan teratur.

Katanya, apabila jalan menghubungkan Kapit siap sepenuhnya, ia akan memberikan ransangan ekonomi kepada komuniti di Kapit dan kawasan sekitarnya.

Justeru, dengan adanya kerjasama antara peminpin di Bahagian Kapit segala perancangan termasuk melibatkan pemerkasaan ekonomi setempat menjadi sesuatu yang tidak mustahil dilaksanakan.

Tambah Nanta, beliau dan rakan pemimpin lain terbuka dalam menerima kritikan daripada orang ramai namun ia haruslah sesuatu kritikan yang membina dan dapat memberikan manfaat kepada semua.

Ujarnya, pihak yang mengkritik seharusnya mempunyai fakta yang kukuh dan bukanya hanya pandai menyalahkan usaha yang dilakukan oleh pemimpin di kawasan terlibat yang bertungkus-lumus membawa pembangun kepada rakyat di kawasan luar bandar seperti di bahagian Kapit. — DayakDaily

Advertisement