Bina jalan alternatif atasi kesesakan di Kapit

Tan Sri Dr James Jemut Masing (file photo)

Oleh: Cornelius Kadir Edison

KAPIT, 22 Dis: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mempertimbangkan untuk membina beberapa jalan alternatif di sekitar bandar Kapit bagi mengurangkan kadar kesesakan di bandar tersebut.

Menurut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Tan Sri Dr James Jemut Masing, JKR kini sedang membuat perancangan serta kertas cadangan bagi mengenal pasti laluan bersesuaian untuk perlaksanaan cadangan itu.


Katanya kesesakan di bandar Kapit semakin serius selepas jalan penghubung dari Kapit ke Sibu mula dibuka Oktober lalu.

“Rekod menunjukkan pada hujung minggu sebanyak lebih 1700 buah kenderaan masuk ke kawasan Kapit sejak laluan itu dibuka,” katanya.

Masing berkata jalan alternatif yang dicadangkan oleh JKR nanti akan dapat melancarkan aliran trafik terutama jalanraya ke kawasan pedalaman Kapit.

“JKR mencadangkan jalan alternatif mempunyai jalan penghubung ke kawasan pedalaman Kapit dari sini yang mana ia akan memintas beberapa kawasan yang berlakunya kesesakan jalanraya,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Kapit yang diadakan di Komplex Kerajaan Negeri di Kapit.

Selain perancangan menambahbaik jaringan jalanraya di bandar Kapit, Masing turut bertegas mahu tahap kelajuan liputan telekomunikasi dan jalur lebar di bandar Kapit pada masa kini di pertingkatkan.

Keperluan itu semakin mendesak lebih-lebih lagi dengan pengamalan norma baharu sekarang yang memerlukan pihaknya mengadakan mesyuarat secara virtual.

Justeru itu beliau amat berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Lembaga Multimedia Sarawak memandang serius mengenai apa yang perlu dilaksanakan di Kapit.

Mesyuarat yang berlangsung selama hampir empat jam itu turut dihadiri semua wakil-wakil rakyat di Bahagian Kapit antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang juga Ahli Parlimen Kapit, ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit dan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong. — DayakDaily