Nanta: MyCC bakal pinda Akta Persaingan 2010

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 31 MAC: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bakal meminda Akta Persaingan 2010(AP2010) bagi memberikan kuasa kepada agensi untuk mengawal penggabungan dan pengambilalihan syarikat yang mana pada akhirnya membentuk suatu entiti monopoli dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya merancang untuk membentangkan pindaan akta berkaitan perkara ini pada hujung tahun 2021.

“Melalui kuasa ini, sebarang penggabungan dan pengambilalihan syarikat perlu mendapat kebenaran daripada MyCC.


“Ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan pasaran yang boleh menggugat pasaran. “Mana-mana syarikat yang bergabung tanpa kebenaran boleh diarahkan untuk memecahkan balik gabungan itu dan boleh dikenakan denda,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MyCC merupakan salah satu agensi di bawah KPNHEP diwujudkan untuk menguatkuasakan AP 2010 bagi melindungi proses persaingan dalam pasaran komersial.

Ia juga untuk memastikan budaya persaingan yang kondusif bagi menyediakan pasaran yang baik untuk pengguna, peniaga dan ekonomi secara keseluruhan.

Berhubung isu yang sama, Nanta menyambut baik saranan dua ahli Parlimen PKR iaitu Wong Chen(Subang) dan Nurul Izzah Anwar(Permatang Pauh) yang baru-baru ini telah mencadangkan agar undang-undang persaingan di negara ini dikaji semula, berdasarkan amalan ‘monopoli’ oleh sesetengah syarikat.

Katanya, kedua-dua ahli parlimen tersebut juga telah menamakan syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing, Grab, sebagai contoh dan menyarankan agar monopoli syarikat pemula niaga bernilai berbillion dollar itu harus dipecahkan.

Sejak penubuhannya tambah Nanta, MyCC telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa syarikat yang didapati melanggar perlakuan anti persaingan sama ada melalui perjanjian antipersaingan atau kartel dan penyalahgunaan kuasa dominan atau monopoli.

“Setakat ini, pihak MyCC telah mengeluarkan Keputusan Akhir terhadap syarikat-syarikat tersebut yang melibatkan jumlah denda yang melebihi RM160 juta,’ ujar beliau.-DayakDaily