Nanta: 15 Mac dipilih Hari Pengguna Kebangsaan

Datuk Sri Alexander Nanta Linggi — file pic

KUCHING, 15 Mac: Kerajaan telah bersetuju untuk menjadikan 15 Mac setiap tahun sebagai Hari Pengguna Kebangsaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tiba masanya sumbangan pengguna diiktiraf dan diraikan pada satu tarikh yang khusus.

Katanya, ia mengambil kira kepelbagaian latar belakang pengguna di Malaysia, tidak mengira kaum, agama, jantina dan peringkat umur.


Tarikh 15 Mac ini dipilih bersempena dengan sambutan Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia yang disambut serentak seluruh dunia setiap tahun anjuran Consumers International sejak 1983.

“Tahun 2021 adalah tahun yang bersejarah kerana buat pertama kalinya kita menyambut Hari Pengguna Kebangsaan sempena Hari Hak-hak Pengguna Sedunia pada tarikh yang sama,” katanya dalam ucapan sempena sambutan tersebut di Kuala Lumpur hari ini.

Tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia tahun ini adalah Menangani Pencemaran Plastik.

Menurut Nanta, pencemaran merupakan salah satu isu dan cabaran terbesar yang dihadapi pada masa ini terhasil dari pengurusan buangan yang tidak berhemah dan teratur.

Ujar beliau, kerajaan komited dengan gagasan ini dan akan bersama dengan badan dunia untuk menangani pencemaran terutama yang disebabkan oleh plastik.

Ini dilaksanakan melalui pengurangan penggunaan plastik terutama plastik guna sekali yang memberikan impak negatif kepada kehidupan manusia dan umur bumi.

Tambah beliau, kerajaan telah pun memulakan advokasi dan peraturan penggunaan plastik guna sekali sejak 2019.

“Ini diteruskan dan dipertingkatkan sehingga pengguna benar-benar faham dengan bahaya plastik guna sekali kepada kehidupan dan bumi kita,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Nanta berkata bahawa kementerian akan terus mendidik dan membentuk pengguna sehingga pengguna di Malaysia menjadi entiti yang tahu hak mereka, bijak, bermaklumat, berdaya-upaya dan berani bertindak.

Program advokasi bersama-sama agensi kerajaan bagi meningkatkan tahap kesedaran pengguna dan Persatuan Pengguna di negara ini akan terus diadakan.

“Pelbagai program dan aktiviti akan terus dilaksanakan termasuk libat-urus bersama persatuan pengguna di peringkat nasional mahupun universiti dan sekolah, serta advokasi di media arus perdana, media sosial dan digital,” katanya.

Menurut beliau, bacaan Indeks Pendayaupayaan Pengguna di Malaysia pada ketika ini berada di peringkat sederhana iaitu 63 peratus.

Justeru, kata Nanta, kementerian mensasarkan bacaan indeks itu dapat ditingkatkan melebihi 85 peratus dalam masa dua tahun. — DayakDaily