Nancy: Rugi RM9 bilion, MOTAC lakar Pelan Tindakan Strategik

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, Mac 24: Anggaran semasa kerugian industri pelancongan bagi tempoh Januari hingga Mac 2020 kesan penularan wabak Covid-19 melebihi RM9 bilion.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan, ia melibatkan penggiat sektor penginapan, pengangkutan, beli-belah, makanan dan minuman serta penganjuran acara perniagaan.

Bagi mendalami isu ini, satu sesi perjumpaan dan perbincangan bersama penggiat industri pelancongan telah diadakan pada Mac 17.

“Perbincangan ini dikendalikan oleh Tourism Recovery Action Council (TRAC) yang ditubuhkan oleh MOTAC khusus bagi membincangkan langkah-langkah memastikan industri pelancongan tidak terjejas akibat penularan wabak Covid-19 ini.

“Hasil perbincangan, MOTAC melakar Pelan Tindakan Strategik untuk membantu merancakkan kembali industri ini dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia yang bergantung kepada industri ini terjamin,” menurut Nancy menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru, tambah Nancy, MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan serta agensi-agensi berkaitan untuk memperhalusi pandangan-pandangan yang dikemukakan oleh pihak pemain industri pelancongan.

Disamping itu katanya, MOTAC akan memperkenalkan kempen pelancongan baru bagi menggantikan kempen Visit Malaysia 2020 yang telah dibatalkan akibat penularan Covid-19.

“Ia bagi mengekalkan kedudukan sebagai destinasi utama pelancongan di rantau ini.

“Kempen ini akan bersifat jangkamasa panjang yang akan memperkukuhkan jenama ‘Malaysia, Truly Asia’ dan mengetengahkan pengalaman-pengalaman unik yang boleh didapati di Malaysia.

“MOTAC yakin usaha ini akan mengukuhkan daya saing dan kelestarian industri pelancongan negara di samping memastikan industri ini inklusif,” ujar Nancy.

Tambah beliau, industri pelancongan menyediakan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada lebih 3.7 juta rakyat Malaysia dan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.3 peratus. — DayakDaily