LUBOK ANTU, Mei 6: Kemalangan membabitkan lima buah kenderaan telah mengakibatkan dua lelaki temui ajal selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di KM40, Jalan Lubok Antu-Sri Aman dekat sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu mengakibatkan dua mangsa yang dikenalpasti sebagai Celvin Inggol Ogos, 20, dan Domanick Ubong, 16, maut serta-merta di lokasi kemalangan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian, kedua-dua mangsa menaiki sebuah motosikal dan diiringi dua buah motosikal rakannya.
Bagaimanapun katanya, tindakan Celvin yang memotong dua buah motosikal rakannya di jalan selekoh mengakibatkan motosikalnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di laluan bertentangan.
“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak atas jalan raya dan digilis oleh motosikal rakannya dan sebuah kereta di laluan tersebut.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada anggota badan mereka maut serta merta di tempat kemalangan itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily