Muhyiddin umum BPN 2.0 dengan peruntukan RM7 bilion dibayar mulai Oktober

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 SEPT: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pemberian tunai tambahan di bawah Bantuan Prihatin Nasional(BPN) 2.0 dengan peruntukan hampir RM7 bilion.

Katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini.

“Semua inisiatif khas di bawah KITA PRIHATIN ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM10 bilion.

“Sekali lagi saya akan meminta Kementerian Kewangan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional(LAKSANA untuk) memastikan bantuan dan inisiatif ini disalurkan kepada rakyat tepat pada masanya,’katanya pada Perutusan Khas yang disiarkan di seluruh negara hari ini.

Menurut Muhyiddin, jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 melibatkan 4 golongan iaitu isi rumah B40, bujang B40, isi rumah M40 dan bujang M40.

“Pertama sejumlah RM1,000 akan disalurkan kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung bulan Oktober 2020 dan keduanya pada bulan Januari 2021.

“Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada bulan Januari 2021 adalah sebanyak RM300,” ujar Muhyiddin.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, Kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu.

Inisiatif khas di bawah KITA PRIHATIN yang diumumkan Muhyiddin hari ini melibatkan perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM10 bilion.

Ia merangkumi inisiatif Geran Khas PRIHATIN berjumlah RM600 juta, Bantuan Prihatin Nasional(RM7 bilion) dan Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion).

“Kita tidak boleh mengharapkan bantuan dari luar negara kerana negara-negara lain juga sedang bergelut menyelesaikan masalah mereka sendiri. Kita hanya dapat bergantung sesama kita dalam sebuah keluarga besar rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan pakej KITA PRIHATIN ini akan dapat memberikan manfaat besar kepada saudara dan saudari sekalian,”kata Muhyiddin lagi.

Pakej KITA PRIHATIN adalah insiaitif berterusan kerajaan dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19 selepas pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan dan PENJANA yang keseluruhannya bernilai lebih RM295 bilion.-DayakDaily