Muhyiddin: PKPB diganti PKPP mulai 10 Jun, rentas negeri dibenarkan

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 7: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 9 Jun ini digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

PKPP katanya akan bermula pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020 dan dalam tempoh ini, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada orang ramai untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.


“Mulai 10 Jun 2020, perjalanan rentas negeri akan dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jadi, bagi mereka yang ingin menziarahi ibu-bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian.

“Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas Pelaksanaan PKPP di Putrajaya yang disiarkan siaran televisyen RTM TV1 hari ini.

Tambah Muhyiddin, dalam tempoh PKPP, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya kepada SOP.

Menurut beliau, fasa pemulihan ini adalah sebahagian daripada strategi keluar daripada PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020 diikuti dengan PKPB sejak 4 Mei 2020.

“Selain itu, aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan juga dibenarkan.

“Termasuk dalam senarai yang dibenarkan juga ialah lawatan ke muzium, ‘indoor busking’, dobi layan diri, aktiviti perikanan rekreasi termasuk kolam pancing komersial dan penggambaran filem.

“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat mematuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang,” katanya lagi.

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan PKPP dengan berteraskan tujuh strategi iaitu Pengukuhan Kesihatan Awam, Perundangan dan Penguatkuasaan, Pengukuhan Kawalan Sempadan, Pembukaan Sepenuhnya Sektor Ekonomi, Pembudayaan Kebiasaan Baharu, Pemerkasaan Tanggungjawab Komuniti dan Perlindungan Golongan Berisiko.

“Strategi ini akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Khas Menteri Mengenai Pelaksanaan PKPP yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan.

“Manakala di peringkat kerajaan negeri pula, strategi ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa yang diwujudkan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri,” ujar beliau.

Tegas Muhyiddin, dalam tempoh pemulihan menuju normalisasi ini, beberapa aktiviti dan sektor di dalam senarai negatif semasa PKPB akan dilonggarkan atau dibuka berdasarkan SOP yang ditetapkan. — DayakDaily