MTMD cadang kemuka pemohonan tubuh Mahkamah Majistret tetap di lima bahagian

Kelihatan Fatimah (duduk lima dari kanan) ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membenteras Dadah peringkat negeri Sarawak di Hotel UCSI, Kuching.

KUCHING, 9 Dis: Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) akan mengemukakan pemohonan untu menubuhkan Mahkamah Majistret tetap di lima bahagian yang masih belum mempunyai mahkamah tetap iaitu di bahagian Kapit, Mukah, Sarikei, Betong dan Serian.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ketika ini kelima-lima bahagian ini bergantung kepda mahkamah bergerak atau ‘circuit court’ sekiranya terdapat pendakwaan jenayah oleh pihak berkuasa khususnya melibatkan penyalahgunaan dadah.

“Sekiranya seseorang itu ditangkap dan kalau mahkamah tdak bersidang pada masa tersebut, suspek yang ditangkap atau orang kena tangkap (OKT) itu terpaksa dibebaskan dengan jaminan polis bagi menunggu bila mahkamah boleh bersidang lagi.


“Tentu sekali ini akan menjejaskan usaha pencegahan yang dilaksanakan sebab selepas ditangkap, suspek tersebut terpaksa dilepaskan atas jaminan polis,” katanya.

Tambah beliau, adalah lebih efektif untuk menubuhkan sebuah Mahkamah Majistret tetap di kawasan tersebut supaya urusan memohon perintah reman dan pendakwaan kes terutamanya berkaitan kesalahan dadah dapat di lakukan dengan lebih berkesan.

Katanya, pendakwaan yang segera terhadap kes berkaitan dadah secara tidak lansung akan dapat mengelakkan suspek tersebut terus terlibat dengan gejala itu jika dia terpaksa dilepas sementara menunggu pendakwaan seterus di mahkamah bergerak.

“Penubuhan Mahkamah Majistret tetap dikawasan ini juga turut berupaya menepis persepsi negatif berkenaan tindakkan pihak berkuasa yang melepaskan OKT terlibat dadah ini dengan jaminan sementara menunggu pendakwaan,” katanya.

Jelas Fatimah, dari tahun 2018 hinga Oktober tahun ini, sebanyak 12,591 operasi penguatkuasaan dengan 27,684 tangkapan direkodkan bagi pelbagai aktiviti penyalahgunaan dadah di seluruh Sarawak melibatkan nilai rampasan berjumlah RM34.345 juta.

Statistik ini, katanya, jelas menunjukkan keperluan kritikal untuk menubuhkan sebuah Mahkamah Majistret tetap di bahagian yang belum mempunyai perkhidmatan tetap terbabit.

Ujar Fatimah, selain penubuhan Mahkamah Majistret tetap di lima bahagian tersebut, MTMD turut bercadang untuk mengemukana pemohonan penubuhan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kapit dan Pusat Pemulihan Narkotik (Puspen) bagi zon utara Sarawak di Miri.

Cadangan tersebut timbul memandangkan kedua-dua kawasan terbabit masih belum mempunyai cawangan AADK dan Puspen untuk kawasan utara Sarawak. — DayakDaily