MPP laksana Operasi Bersepadu tangkap anjing liar 7-8 Julai

Poster Cegah Rabies (gambar fail)

KUCHING, 6 Julai: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan melaksanakan Operasi Bersepadu menangkap anjing liar selama dua hari iaitu mulai esok sehingga 8 Julai ini.

Operasi turut disertai Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan penglibatan pelbagai agensi lain.

“Dalam tempoh 6 bulan pertama (Januari sehingga Jun) 2020, MPP mencatatkan rekod aduan sebanyak 189 kes manakala sebanyak 394 ekor anjing telah berjaya ditangkap.


“Pada 2019, MPP telah menerima sebanyak 479 aduan anjing liar dan sebanyak 963 ekor anjing liar telah berjaya ditangkap tahun lalu.

“Disebabkan kes aduan anjing liar yang agak tinggi di kawasan pentadbiran Majlis, MPP mengadakan inisiatif untuk melaksanakan Operasi Bersepadu,” menurut MPP menerusi satu kenyataan hari ini.

MPP juga memaklumkan bahawa Jabatan Veterinar dan PDRM kerap menerima aduan yang sama iaitu di kawasan di Kuching City Mall, MJC Batu Kawa, Moyan Square dan Matang Jaya.

Menurut kenyataan itu, statistik menunjukkan bahawa aduan di kawasan itu diterima adalah disebabkan anjing liar berkeliaran dan pemilik anjing sengaja melepaskan anjing peliharaan mereka.

Ia mendatangkan bahaya kepada orang awam yang lalu di kawasan tersebut sehingga menyebabkan kemalangan.

“Sumber dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaporkan bahawa di kawasan pentadbiran Majlis pada 2019, kes gigitan anjing adalah sebanyak 5,987 kes dan hanya 4 kes rabies dilaporkan.

“Manakala pada 2020, minggu Epid 1 hingga minggu ke-27 sebanyak 1,637 kes gigitan telah dilaporkan dan tiada sebarang kes rabies,” kata MPP.

Justeru MPP menasihati orang ramai agar tidak melepaskan anjing mereka sesuka hati kerana anjing yang telah diberi suntikan vaksin mesti dirantai.

Pemilik hanya dibenarkan memelihara atau menyimpan tiga ekor anjing dalam rumah dan wajib mendapatkan vaksin anti rabies dari Jabatan Veterinar secara percuma dan lesen dari Majlis.-DayakDaily