MP Hulu Rajang cadang kajian dilakukan kepada klausa RUU (pindaan) 2020

Datuk Wilson Ugak Kumbong

KUCHING, 27 Okt: Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong mencadang agar kajian dilakukan terhadap Bahagian VIIA (7A) klausa Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020.

Katanya, fungsi kawal selia Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan ini boleh diletakkan di bawah mana-mana jabatan atau agensi sedia ada seperti Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

“Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) perlu kekal fokus kepada tempat kerja.

“Fungsi-fungsi JKKP seperti melaksanakan kajian, penyelidikan, khidmat nasihat, galakan dan promosi seharusnya diserahkan kepada jabatan dan agensi KSM yang lain.

“Mohon JKKP menumpukan sepenuh tenaga dan perhatian kepada pematuhan majikan dan pekerja di tempat kerja, bukannya di tempat lain,” katanya di perbahasan parlimen hari ini.

Tambah Wilson, klausa ini menyebut bahawa Ketua Pengarah JKKP mengawal selia pengurusan Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan.

Jelas beliau, ini adalah penambahan bebanan tugas dan kerja hakiki sebenar JKKP.

“Orang Yang Kompeten dan Penyedia Latihan ini bukan melibatkan tempat kerja.

“JKKP seharusnya menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penguatkuasaan, pemeriksaan, penyiasatan, pematuhan peraturan majikan dan pekerja di tempat kerja,” katanya.

Wilson pada perbahasan itu menyatakan sokongan kepada pindaan yang menaikkan lagi kadar penalti denda kepada majikan serta menaikkan lagi tempoh denda penjara.

Katanya, hukuman berat menunjukkan ketegasan dan komitmen kerajaan.

Walaubagaimanapun ujar beliau, perkara pokok kepada asas kelemahan penguatkuasaan ialah bila ia lari dari fungsi sebenar. — DayakDaily