BAU, 8 Feb: Sebuah motosikal dilaporkan terbakar dalam kemalangan berdekatan Pejabat JKR Bau, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.48 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) diketuai Pegawai Bomba Tiwi Nios terus dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang terbakar 100 peratus selepas kejadian kemalangan dengan sebuah Perodua Bezza.
“Mangsa yang terlibat dalam kemalangan telah dibawa oleh orang awam ke hospital sebelum ketibaan anggota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Komander operasi lapor kebakaran dapat dipadam sepenuhnya dengan menggunakan satu aliran dari tangki jentera.
Setelah selesai pembersihan jalan dan memastikan keadaan selamat, anggota pasukan terus balik ke balai.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.20 pagi. — DayakDaily