Polis buru saki-baki suspek kes rusuhan di Jalan Batu Kawah

Tangkap layar dari video kejadian yang tular di media sosial.

KUCHING, 8 Feb: Seorang lelaki berusia 20an ditangkap kerana disyaki terlibat kejadian rusuhan di sebuah rumah di Jalan Batu Kawah pada 4 Feb baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek ditangkap pada 7 Feb susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan telah berjaya mengesan salah seorang suspek lelaki berusia 20an dan usaha mengesan suspek lain sedang dipergiatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Tambahnya, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak juga turut membantu mengesan suspek yang lain.

“Kita percaya tangkapan susulan ke atas saki baki rakan sejenayah akan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Tegasnya, polis memandang serius ke atas apa-apa jenayah yang berlaku di daerah tersebut.

Dalam video tular yang dimuat naik malam 6 Feb, kelihatan sekumpulan antara enam hingga tujuh lelaki memasuki perkarangan rumah sambil bersenjatakan objek tajam dan batang besi dan kelihatan merosakkan harta benda.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana Memiliki senjata atau peluru berpandu semasa rusuhan dan Seksyen 427 Kanun yang sama kerana khianat. — DayakDaily