SERIAN, Mei 28: Dua individu masing-masing seorang lelaki dan wanita terkorban selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gedong di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.25 pagi itu mengakibatkan kedua-dua mangsa iaitu Simon Pulin, 41, dan Jolia Asoi, 39, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan yang dialami mereka.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, Iskandar Apet berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 10.28 pagi.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja susulan di tempat kemalangan.
“Sejurus tiba di lokasi kemalangan, pasukan bomba mendapati kedua-dua mangsa sudah tidak bernyawa lagi dan dalam keadaan tercampak di bahu jalan tersebut.
“Lebih malang, sebuah motosikal yang dinaiki mereka dalam keadaan terbakar, lori yang terlibat dalam kemalangan itu juga terbalik,” katanya di sini hari ini.
Iskandar menambah, pemandu lori dan kelindan kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh petugas perubatan yang turut berada di tempat kemalangan.
“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 11.44 pagi selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis,” katanya lagi. — DayakDaily