65 penduduk terjejas, atap rumah diterbangkan angin kencang

Kelihatan keadaan rumah panjang yang atap diterbangkan oleh angin kencang.

KAPIT, Mei 28: Seramai 65 penduduk rumah panjang serta rumah persendirian di Long Busang terjejas akibat bumbung atap kediaman mereka diterbangkan oleh angin kencang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, kejadian angin kencang itu dilaporkan berlaku di daerah Bukit Mabong sejak semalam.

Katanya, setakat ini JPBNS tidak menerima sebarang laporan kemalangan jiwa atau kecederaan akibat kejadian tersebut.


Kelihatan keadaan rumah panjang yang atap diterbangkan oleh angin kencang.

“Difahamkan, penduduk yang terjejas kini menumpang rumah saudara mara mereka yang terdekat.

“Maklumat berhubung kejadian itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ismail menambah, perjalanan dari Kapit ke Long Busang mengambil masa lebih kurang lapan hingga sembilan jam dan ia juga bergantung pada cuaca dan menggunakan kenderaan pacuan empar roda.

Katanya, pihak berkaitan akan ke lokasi bagi melakukan tinjauan serta untuk mendapatkan maklumat terkini.

“Jumlah kerugian akibat kejadian itu juga masih disiasat,” ujarnya lagi . — DayakDaily