Motosikal langgar lori, dua sahabat temui ajal

Keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori.

KUCHING, April 20: Malang menimpa dua sahabat apabila mereka menemui ajal selepas motosikal yang ditunggang melanggar belakang lori di Batu 21, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu mengakibatkan dua mangsa maut serta merta di lokasi kemalangan.

Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Beraina Jika, 26, dari Kampung Sual, Simunjan dan Chile Brownson Jika, 21, dari Kampung Suah, Simunjan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa difahamkan menuju ke pusat bandar raya ini dari arah Serian.

Namun katanya, malang menimpa mangsa apabila tiba-tiba merempuh belakang sebuah lori di laluan sebelah kiri.

“Kesan perlanggaran kuat itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pemandu serta kelindan kenderaan berat itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, mayat kedua-dua lelaki malang itu telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily