Pam ‘booster’ akan dipasang di loji air Pusa sebagai penyelesaian jangka masa pendek

Rundi (dua dari kanan) dan Rohani (dua dari kiri) berdialog dengan penduduk Pusa ketika Sesi Dialog Projek Naik Taraf Sistem Perpaipan Bekalan Air Kawasan Pusa DUN N.29 Beting Maro.

PUSA, April 20: Kementerian Utiliti Sarawak akan memasang pam ‘booster’ di Loji Air Pusa sebagai penyelesaian jangka masa pendek masalah penyaluran air bersih dari loji terbabit ke sekitar Pusa pada penghujung bulan ini.

Menteri Utiliti Dato’ Sri Stephen Rundi Utom berkata demikian berikutan projek menyelesaikan masalah penyaluran air bersih dari loji itu ke sekitar Pusa bagi jangka masa panjang masih belum bermula dan sedang dalam proses pengeluaran tender.

“Projek itu yang sedang dalam proses tender akan mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Buat masa ini, sebagai alternatif jangka pendek, bekalan air akan disalurkan apabila pam booster yang kini berada di Kuching akan dibawa ke sini dan dipasang di Loji Air Pusa akhir bulan ini,” katanya ketika menghadiri Sesi Dialog Projek Naik Taraf Sistem Perpaipan Bekalan Air Kawasan Pusa DUN N.29 Beting Maro, di sini, semalam.


Program yang dianjurkan Pejabat Daerah Pusa dimulakan dengan pembentangan projek bekalan air bersih daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak sebelum sesi dialog bersama lebih 100 orang penduduk sekitar Pusa.

Rundi dalam sesi dialog itu menjelaskan bahawa projek jangka masa panjang itu membabitkan penukaran paip-paip lama kepada paip baru, aturan semula saluran perpaipan, penyediaan tangki simpanan baru dan menyalurkan tenaga bagi meningkatkan tekanan air yang rendah.

“Apabila projek jangka panjang bekalan air ini siap kelak, ia dijangka akan menyelesaikan isu bekalan air bersih kepada lebih 24,000 penduduk di kawasan N.29 Beting Maro,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dan penyandang Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim yang juga hadir pada sesi dialog terbabit menegaskan bahawa kerajaan tidak mengambil mudah berkenaan isu air ini, malah pelbagai perancangan jangka panjang dan pendek dilakukan demi memastikan masyarakat sekitar memperoleh kemudahan asas ini di luar bandar.

“Sejak akhir-akhir ini pelbagai tanggapan negatif telah dilemparkan terhadap kerajaan terutamanya di media sosial tentang bekalan air bersih di sini. Jadi saya terpanggil untuk menjelaskan tentang usaha yang dilakukan kerajaan dalam menyalurkan bekalan air bersih di sekitar kawasan ini,” katanya.

Rohani berharap dengan masyarakat mendapat penjelasan terus mengenai masalah itu, selepas ini tiada lagi perkara sama diputar belitkan mereka yang tidak bertanggungjawab bagi mengambil kesempatan terhadap isu air kawasan itu.

Sesi dialog itu turut dihadiri Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri Beting Maro Razaili Gapor, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak Datuk Alice Jawan, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak Chang Kuet Shian dan Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin. ā€” DayakDaily